| Eksklusif: Ezam difitnah mahu sertai PKR semula |
|
|
|
| Friday, 01 February 2008 | |
|
Oleh Wartawan KLpos.com Eksklusif PENGERUSI Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini menafikan sekeras-kerasnya berita yang mendakwa beliau memohon menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disiarkan oleh sebuah laman web semalam. Beliau juga mendakwa tulisan tersebut berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik beliau dan didalangi oleh pemimpin opurtunis dan hipokrit dalam PKR. Malaysia-today.net melalui penulis Zulkifli Mohamad semalam menyiarkan berita memetik sumber bertajuk 'Ezam pohon jadi calon Keadilan, Anwar beri syarat' yang antara lain mendakwa Ezam telah memohon untuk menyertai semula PKR yang ditinggalkan beliau April tahun lalu. Dalam reaksinya kepada KLpos.com hari ini, Ezam berkata, beliau tidak pernah memohon untuk menjadi ahli atau calon pilihanraya PKR atau mana-mana parti sekalipun samaada parti pembangkang atau parti pemerintah. "Yang berlaku akhir-akhir ini adalah pelawaan yang dibuat oleh beberapa parti politik (bukan PKR) menerusi pemimpin tertinggi mereka di peringkat pusat untuk saya bertanding atas nama parti mereka dengan tujuan agar agenda melawan rasuah yang diperjuangkan oleh GERAK akan menjadi lebih bermakna di dalam parlimen," kata Ezam. SEMENTARA ITU, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menafikan isu kemasukan semula Ezam dalam PKR dibincangkan dalam MPT atau biro politik parti tersebut. "Berita (Malaysia-today) tersebut tidak benar," katanya ketika dihubungi KLpos.com sebentar tadi. Foto: Minaq Jinggo
Kenyataan penuh Mohamad Ezam Mohd Nor Saya menafikan sekeras-kerasnya berita tulisan Zulkifli Mohamed yang dimuatkan dalam laman web Malaysia Today hari ini. Saya tidak pernah memohon untuk menjadi calon pilihanraya Parti KeAdilan atau mana-mana parti sekalipun samaada parti pembangkang atau parti pemerintah. Yang berlaku akhir-akhir ini adalah pelawaan yang dibuat oleh beberapa parti politik (bukan PKR) menerusi pemimpin tertinggi mereka di peringkat pusat untuk saya bertanding atas nama parti mereka dengan tujuan agar agenda melawan rasuah yang diperjuangkan oleh GERAK akan menjadi lebih bermakna di dalam parlimen. Saya menghormati dan menghargai niat murni parti-parti tersebut tetapi membayangkan kemungkinan yang sukar untuk saya menerimanya kerana GERAK harus terus berdiri sebagai sebuah badan non-partisan untuk ianya terus diterima oleh semua lapisan masyarakat. Namun atas rasa penghargaan terhadap cita-cita perjuangan, saya sedia dan sedang memikirkan dan berbincang dengan aktivis GERAK kemungkinan bertanding di dalam pilihanraya akan datang tetapi hanya sebagai calon bebas. Justeru kenyataan Khir Toyo terhadap saya dan UMNO Selangor baru-baru ini juga tidak relevan kerana pertimbangan saya hanyalah sebagai calon bebas. Tidak timbul sama sekali soal menjadi calon UMNO. Kenyataan beliau itu mungkin bertolak daripada kebimbangan beliau sendiri terhadap kedudukan beliau di Selangor. Berita tentang saya memohon menjadi calon keAdilan adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Pendirian saya keluar dari Parti KeAdilan Rakyat April tahun lalu adalah berasaskan kepada keyakinan parti tersebut telah dibiarkan untuk dikuasai oleh individu-individu oportunis dan unsur-unsur hiprokasi yang membelakangkan nilai dan semangat asal perjuangan reformasi. Keyakinan tersebut tetap tidak berubah sedikitpun sehingga hari ini. Malah berita fitnah dan berniat jahat tulisan Zulkifli Mohamad ini memperkukuhkan keyakinan saya. Permainan politik murahan dan tiada akhlak yang didalangi oleh pemimpin-pemimpin oportunis dan hipokrit didalam PKR dengan menggunakan penulis upahan seperti Zulkifli Mohamad (yang juga ahli PKR) ini bukan perkara baru. Budaya jijik ini jugalah yang melatari suasana semasa saya meninggalkan PKR. Saya tidak berniat sama sekali untuk menyentuh urusan PKR. Cuma fitnah jahat yang mengugat maruah saya wajib saya pertahankan. Dan saya ingin nyatakan kesediaaan untuk bertempur dengan serangan fitnah seperti ini dalam apa keadaan sekalipun kerana bertempur bukan suatu yang asing bagi saya dalam perjuangan ini. Keputusan akhir saya untuk bertanding didalam pilihanraya akan datang hanya akan diputuskan setelah mendapat pandangan segenap lapisan aktivis GERAK khususnya mahasiswa yang menjadi penggerak utama sekarang. Dan pertimbangan utama kami tentunya adalah terhadap cita-cita perjuangan melawan rasuah sebagai musuh nombor satu Negara. Penglibatan saya dan GERAK dalam pilihanraya akan datang adalah berdasarkan kepada pertimbangan tersebut kerana asas penubuhan GERAK adalah untuk meletakkan fokus utama perjuangan reformasi Negara ini melawan rasuah sebagai agenda utamanya. Mohamad Ezam Mohd Nor
BERITA MALAYSIA-TODAY.NET Oleh Zulkifli Mohamed Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) KeADILan, Mohamad Ezam Mohd Noor telah memohon untuk menyertai semula keADILan dan menjadi calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang. Hasratnya itu telah disampaikan kepada salah seorang Ketua AMK di Selangor, yang kemudiannya telah membawanya ke pengetahuan salah seorang Naib Presiden parti itu. Beliau kemudiannya telah mengemukakan hasrat Ezam itu ke mesyuarat tertinggi parti di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bagaimanapun difahamkan Ketua Umum keADILan Anwar Ibrahim, telah meletakkan syarat agar Ezam memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan parti ekoran tohmahan beliau ketika mengisytiharkan keluar parti itu pada Jun tahun lalu, sebelum permohonan beliau dipertimbangkan. "Anwar mahu Ezam memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan parti," jelas sumber parti itu kepada Malaysia Today. Ezam ketika mengumumkan keluar parti, menuduh Anwar bersikap seperti seorang "diktator" tetapi menganggapnya sebagai seorang pemimpin yang "lemah". Beliau juga mendakwa, Anwar berada "di bawah telunjuk" salah seorang Naib Presiden Azmin Ali. Semuanya gara-gara pemilihan kongres tahunan parti itu tahun lalu yang membabitkan pencalonan penyandang jawatan Timbalan Presiden Dr Syed Hussin dengan pencabarnya Azmin Ali. Ezam dikatakan membantah hasrat Azmin itu yang mahukan status quo dikekalkan, sementara Azmin mahukan amalan demokrasi subur dalam parti. Azmin kemudiannya menarik balik hasratnya untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu dan mempertahankan jawatan naib presiden. Dia dikatakan mengambil keputusan itu selepas Anwar menasihatkannya supaya berbuat demikian selepas Syed Husin mahu mempertahankan jawatannya itu. Bagaimanapun, keputusan Azmin itu masih tidak memuaskan hati Ezam, apabila beliau membuat satu lagi tuduhan. "Memandangkan Anwar telah menghalang Azmin daripada bertanding jawatan timbalan presiden, maka dia (Azmin) kemudiannya menghalang Anwar daripada bertanding jawatan tertinggi parti itu," dakwa Ezam seperti laporan sebuah web berita. Beliau merujuk kepada keputusan Anwar menarik diri daripada bertanding jawatan presiden pada saat-saat akhir, kerana terhalang oleh peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Ezam yang kini sebagai Pengerusi Gerakan Anti Korupsi mengumumkan baru-baru ini bahawa beliau telah dilamar oleh sekurang-kurangnya tiga parti untuk menjadi calon pilihan raya. Desas desus paling kuat, kononnya Umno Selangor telah menawarkan beliau sebagai calon. Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Dr Khir Toyo kemudiannya menyangkal khabar angin itu. Katanya Ezam belum memohon menyertai Umno, bahkan menjelaskan parti itu tidak mungkin memilih Ezam kerana mereka tidak ketandusan calon. BERITA BERKAITAN |
EPL Official Latest News
| Official Site of the Premier League - Barclays Premier League News, Fixtures and Results News |










